Tuesday, 15 November 2011

~Ujian Hidup dan Rezeki Kita Berbeza~

Assalamualaikum. Hai!


Sedar atau tidak, kita selalu merungut dengan setiap ujian hidup yang dihadapi dan rezeki yang diberikan pada kita. Ada je yang kita berasa tidak puas hati. Merungut tanpa henti. Seolah-olah kita sahaja yang 'bernasib malang'. Mula nak membandingkan diri dengan insan lain. Kemudian cemburu dengan 'nasib baik' mereka. Sedangkan kita terlupa yang setiap manusia tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari berhadapan dengan ujian hidup dan rezeki. Cuma ujian yang dihadapi berbeza keadaannya. Itu lumrah kehidupan yang nyata.


Ujian Hidup

Sepanjang kehidupan sebagai seorang manusia, kita akan melalui 2 fasa ujian hidup yang pasti menguji kekuatan iman. Ujian kesenangan dan ujian kesusahan. Mampu atau tidak untuk kita berhadapan dengan kedua-duanya? Allah takkan sesekali menguji hamba-hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Setiap ujian yang diberikan pasti bertepatan dengan kemampuan kita. Itu janji Allah.


Ujian kesenangan. Hidup mewah, bijak belajar, tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya, rumahtangga bahagia, bekerjaya hebat, berpangkat dan dikenali ramai. Itulah antara ujian-ujian kesenangan kurniaan Allah kepada hambaNya. Allah selalu memberikan ujian kesenangan ini kepada insan yang terpilih untuk menguji seteguh mana iman mereka. Selalunya iman pasti akan goyah kerana menjadi terlalu leka dan lupa diri. Sehingga semakin jauh tersasar dan lupa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah itu. Lalai dengan kesenangan hidup yang diberikan. 


Ujian kesusahan. Hidup merempat tidak berharta, tidak bijak belajar, menghidap pelbagai penyakit kronik, rumahtangga berantakan, tidak bekerjaya, tidak berpangkat dan selalu dicemuh orang. Inilah antara ujian-ujian kesusahan yang Allah turunkan kepada hambaNya untuk menguji dan menyedarkan mereka tentang hakikat kehidupan di dunia. Yang mana tidak semua akan mendapat kesenangan semasa kehidupan mereka di dunia. Bagaimanapun, mereka yang menerima ujian kesusahan ini seharusnya menjadi semakin 'tunduk' dan menyedari akan kelemahan diri sebagai hambaNya yang kerdil.


Samada ujian kesenangan atau ujian kesusahan yang dialami, kita wajib bermuhasabah diri setiap masa. Setiap ujian pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Jadi janganlah selalu merungut. Sebaiknya kita mohon petunjuk dari Allah supaya sentiasa membimbing kita dengan jalan yang betul untuk kuat mengharungi setiap ujian yang menimpa.


Sesungguhnya ujian kesenangan lah yang paling perlu ditakuti kerana kita akan mudah hanyut dan lupakan Tuhan. Sedangkan ujian kesusahan akan menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan. Itulah lumrah kehidupan manusia yang mudah alpa. Bila 'senang' Allah dilupakan, bila 'susah' Allah yang dicari.


~Credit : image taken from here.~



Ujian Rezeki

Setiap dari kita ada rezeki yang tersendiri. Namun dalam urusan rezeki ini juga ada ujian yang Allah turunkan. Murah rezeki dan berat rezeki. Itu perumpamaan yang dicanangkan oleh orang-orang lama. Seperti 'Ujian Hidup' inilah 2 fasa dalam Ujian Rezeki. Harta, kerjaya, jodoh dan anak adalah antara contoh rezeki yang paling dekat dengan kita. 


Bagi yang diuji dengan 'murah rezeki', maka segala yang diinginkan pasti mudah untuk dikecapi dan dipermudahkan Allah. Rezeki harta - sudah kaya bertambah kaya. Rezeki kerjaya - senang dinaikkan pangkat dan gaji. Rezeki jodoh - urusan mencari pasangan hidup berjalan lancar. Rezeki anak - dikurniakan zuriat yang ramai. Tapi berapa ramaikah yang bersyukur dengan nikmat ujian 'murah rezeki' ini? Realitinya, ramai yang terlupa untuk bersyukur.


Bagi yang diuji dengan 'berat rezeki' pula, terpaksa menerima hakikat dan redha dengan ketentuan dan ujian yang diberikan oleh Allah. Rezeki harta - tetap hidup miskin. Rezeki kerjaya - sukar mendapatkan pekerjaan. Rezeki jodoh - urusan mencari pasangan hidup menjadi sangat sukar. Rezeki anak - tidak dikurniakan zuriat. Namun, ujian-ujian ini sepatutnya menjadi pemangkin untuk terus berusaha memperbaiki diri. Terus berdoa kepada Allah, bertawakal dan cari jalan terbaik untuk cuba merungkai ujian 'berat rezeki' tersebut. Bukannya hanya berteleku mengharapkan keajaiban berlaku.


Sesungguhnya Allah akan 'membuka jalan' yang lebih luas untuk mereka yang sentiasa bersyukur dan berusaha. Rezeki adalah rahsia dan kurniaan dari Allah. Dengan kehendakNya tidak mustahil mereka yang 'murah rezeki' akan diuji dengan 'berat rezeki' dan begitulah sebaliknya. Jadi kita perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.


~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~


Pendek kata, ujian hidup dan rezeki kita adalah ketentuan dari Allah. Walau bagaimanapun, jika kita berusaha untuk mengubah diri dan kehidupan kepada yang lebih baik, pasti Allah akan mempermudahkan segalanya. Yang penting kita tidak pernah lupa untuk memohon petunjuk dariNya dan mensyukuri setiap kurniaan ujian yang diturunkan. 


Jadi, janganlah selalu sangat merungut jika ditimpa ujian hidup dan rezeki kerana itu adalah peringatan Allah buat kita. Dan jangan sesekali membandingkan diri kita dengan orang lain. Tak betul langsung tu. Membandingkan hanya akan membuatkan kita jadi putus asa dan tidak redha dengan ujian dari Allah. Lagipun ujian hidup dan rezeki kita adalah berbeza. Sentiasalah bermuhasabah diri. Itulah yang terbaik. 



Bisik2 :: Peringatan buat diri sendiri juga yang kadang-kadang selalu 'termerungut'. Huhu. T_T

Suka baca entri ni? Mekaseh! (^_^)


KLIK UNTUK TINGGALKAN KOMEN

11 orang bagi nasihat:

aceDultraman said...

sokong!

Dr Zatiel Ismail said...

hi betul tu. ada jugak yg suka merungut gaji tak cukup, kerja banyak, tapi sbnrnya, orang lain lebih ramai yg susah. nak ikutkan, kita dah lebih mewah dari mereka..

Anonymous said...

Yang penting adalah sentiasa muhasabah diri..

A.I said...

peh macam pakar motivasi dah.

tapi betol sepatutnya jgn merungut.
tapi manusia kann..
rasa nak gak ada macam org len ada.
alahaiii.

ParkAir said...

Kalau merungt sebulan dah x merasa KFC, ingat la ramai lagi orang tak mampu merasa bertahun2!

Namee Roslan said...

ujian ni macam2. emm, macam keluarga saya, ujian dapat anak autisme. and mmg ssh gila nak jaga adik sy yg tu. kesian sgt kt mak ayah sy. nak sgt anak laki, tunggu 18 tahun baru dpt anak laki. pastu dah dpt, autisme pulak... ;''( sy sedih gak ah tgk ma pa tension n risaukan adik sy.

LAici KAng Ais said...

mungkin Allah memberikan kita kesusahan dan kesenangan adalah untuk mengajar hambanya erti bersabar dan bersyukur. :)

WuMing said...

Baca dan sebarkan untuk kebaikan semua.

KESAN PENYAKIT KANSER DALAM BADAN

Rtp Farra Arisha said...

susah2 dahulu, senang2 kemudian..Allah memberi ujian yang mana membawa kesusahan pada awalnya, tetapi di penghujungnya bakalan tiba juga kesenangan bagi hambaNya! :')
so, most importantly, kita harus meredhakan setiap apa yang diuji..hehe.

ARC™ said...

merungut mana pun tak setel problem...nak2 merungut kt fb :P

Kedai Lalaland said...

So touching!~~~~



 
Copyright @ Shahada Fauzi Official Blog | Since 2009 | All Right Reserved
Designed By Shahada Fauzi | Powered By Blogger.com